Monday, July 1, 2013

Tentang Saff

MENJADI kebiasaan bagi imam bertugas mengungkapkan hadis Rasulullah SAW ketika berdiri mendirikan solat jemaah.
Ucapan itu bukan direka tanpa tujuan kerana kata itu sahih daripada mulut Rasulullah SAW.

Anas Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Luruskan saf kamu, kerana saf yang lurus termasuk solat yang sempurna."
(Hadis Riwayat Muslim)

Namun, seruan itu sering diabaikan masyarakat yang mengaku cintakan Nabi Muhammad SAW, tetapi memandang ringan seruan Baginda.
Sesungguhnya kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mengikut sunnah Baginda.

"Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasulnya lebih dari cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah dan dia membenci untuk kembali kepada kekufuran(maksiat) sebagaimana bencinya dia dilemparkan ke dalam api neraka."


Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda seperti firman Allah bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Ali-Imran, ayat 31)

Mungkin ada yang tidak selesa jika bersolat dalam keadaan rapat serta dalam saf lurus.
Tidak kurang juga timbul perasaan geli untuk berdiri bersentuhan bahu dan bertemu kaki ketika solat jemaah.
Ketahuilah bahawa dalam sunnah yang dipandang ringan ini, terkandung penawar bagi penyakit perpecahan yang sedang melanda umat Islam kini.

Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang menyebabkan hatimu berpecah-belah."
(Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mempunyai cara tersendiri mewujudkan perpaduan utuh di kalangan sahabat dengan menyempurnakan saf.
Ini terbukti apabila generasi yang ditarbiah Rasulullah SAW amat menjaga perpaduan dan tidak mementingkan diri seperti puak Muhajirin serta Ansar yang dapat disatukan.


Ada pihak beranggapan tidak sempurna saf jika kanak-kanak solat bersama, tetapi tidak pula rasa solatnya tidak sempurna jika saf tidak lurus. Setiap kali solat Jumaat atau hari raya, jemaah bersembahyang di luar atau di pekarangan masjid kerana ruangan dalam sudah penuh. Jika semua mementingkan susunan saf yang betul dan lurus, pasti ada jemaah berpeluang solat di dalam masjid. Jika benar ikhlas cintakan Rasulullah SAW dan ingin mengeratkan perpaduan Islam, ikut sunnah nabi supaya merapatkan serta meluruskan saf supaya hilang perasaan ego dan sombong sebaliknya lahir rasa kasih sayang.

p/s: semoga dapat ambil iktibar dan diamalkan, insya-Allah

#sharing is caring

No comments:

Post a Comment