Tuesday, January 25, 2011

Doa Tanpa Usaha, Tidak Bermakna

*diambil dari buku Fanzuru, Hilal Asyraf

(-artikel ini amat sesuai untuk para pelajar) :)

Dalam satu sesi kuliah, pensyarah Aqidah saya, Dr 'Ala Hilat ada berbicara berkenaan keadaan umat Islam dan Yahudi. Beliau bercakap perihal kemenangan dalam peperangan akhir zaman ini. Katanya, "Doa tanpa usaha tidak akan memberikan apa-apa faedah."

Dr 'Ala menyentuh perihal umat Islam yang sering berdoa itu dan ini, tetapi tidak bergerak ke arah apa yang mereka doakan. Berdoa untuk kuat, tetapi melemahkan pula diri sendiri dengan maksiat dan kerendahan disiplin. Berdoa untuk menang, tetapi menawaskan pula diri sendiri dengan keingkaran dan kerosakan sosial.

Kata-katanya mengetuk minda saya.
Allah S.W.T. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tiada siapa di dunia ini yang mampu menandingi Allah dalam apa jua hal.

Dialah Pencipta kita, Maha Tahu segala-galanya, Maha Melihat dan Maha Mendengar, Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.
Kita boleh lihat tanda kasih-sayang Allah dalam ayat-ayat berikut:

Apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka(beritahu kepada
mereka) sesungguhnya Aku(Allah) sentiasa hampir(kepada mereka), Aku
memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku... .
(Al-Baqarah 2:186)

Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan... .
(Al-Ghafir 40:60)

Maka, ramai insan yang silap dalam kefahaman tentang kasih sayang Allah ini. Mereka kira, cukup sekadar berdoa sahaja tanpa berusaha. Mereka berasa sudah puas jika hanya berdoa, lalu perubahannya diserahkan bulat-bulat kepada Allah.

Ini adalah kefahaman yang hakikatnya, menghianati kasih sayang Allah kepada manusia.

Pada suatu hari, sahabat saya, Ikhwan Subberi ada berkata :
"Kita ini, kalau berdoa tanpa berusaha, tidak akan berguna apa-apa. Misalnya kita hendak laci terbuka. Kita berdoa kepada Allah agar membantu kita membuka laci itu, tetapi kita tidak berusaha untuk membuka laci itu, maka laci itu tetap tidak akan terbuka. Sedangkan, Allah hendak memakbulkan doa kita. Yang kita perlu lakukan adalah berusaha membuka laci itu."

Ya, kita minta pada Allah macam-macam. Hendak lulus ujian, hendak menang dalam pertandingan, hendak kahwin dengan orang yang baik, hendak jadi orang yang soleh, hendak bertaubat daripada dosa, hendak kaya, hendak menewaskan Israel dan sebagainya. Tetapi kita tiada usaha. Maka apakah pantas Allah memakbulkannya?

Sebab itu, kita perlu melihat al-Quran itu secara sepenuhnya. Allah sendiri mengarahkan manusia untuk berusaha. Kita melihat dahulu dua ayat yang saya utarakan tadi.
Apakah sambungan ayat-ayat itu? Mari kita lihat:

Apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka(beritahu kepada
mereka) sesungguhnya Aku(Allah) sentiasa hampir(kepada mereka), Aku
memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku(dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.
(Al-Baqarah 2: 186)

Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang yang bersikap sombong untuk beribadah dan berdoa kepada-Ku akan masuk ke dalam Neraka Jahannam dalam keadaan hina."
(Al-Ghafir 40:60)

Lihat, semuanya memerlukan amal, usaha dan ketaatan. Tidak akan termakbul doa kita tanpa usaha. Jika hendak berjaya dalam peperiksaan, kita perlu studi. Di saping itu kita berdoa. Hal ini kerana, kejayaan tetap di tangan Allah. Namun usaha kita studi itu adalah untuk memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Allah menyuruh kita berusaha, maka kita berusaha.

Untuk bertaubat daripada dosa, kita perlu berusaha meninggalkan dosa-dosa kita. Namun, yang sebenarnya membantu kita meninggalkan dosa-dosa kita adalah Allah. Namun usaha kita meninggalkan dosa tadi adalah untuk memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Allah menyuruh kita berusaha, maka kita berusaha.

Inilah dia hakikatnya makna ayat al-Quran yang bermaksud:

... Kemudian apabila engkau telah berazam(sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal kepada-Nya. (Ali Imran 3: 159)

Kenapa selepas membulatkan tekad, Allah tidak sebut berusaha, kemudian baru bertawakal?

Hal ini kerana, tawakal itu perlu bergerak seiring usaha yang di lakukan. Usaha itu sendiri adalah satu daripada tawakal kepada Allah.

Sebab itulah Allah berfirman:

... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ... .

(Ar-Ra’d 13: 11)

Jadi, soal diri kita. Di mana usaha kita?

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ujian dalam kehidupan ini adalah untuk melihat keimanan kita. Malah, jika hendak dibandingkan dengan nikmat syurga yang bakal Allah berikan, ujian di atas dunia ini kelihatan seperti masalah kecil sahaja.

Allah berikan kita pelbagai perkara dan kemudahan. Allah juga mewujudkan kepada kita banyak peluang-peluang kebaikan. Maka bagaimana kita menggunakan kasih-sayang Allah ini?

Ada orang berkata begini, “Alah, apa salahnya buat dosa. Nanti bertaubatlah. Bukanlah Allah Maha Pengampun?”

Mereka ini pengkhianat kepada kasih saying Allah. Sama juga dengan mereka yang menyangka doa itu akan termakbul tanpa usaha.

Allah mengasihi kita, menyayangi kita, mencintai hamba-hamba-Nya. Tetapi siapakah anatara kita yang menghampiri-Nya?

Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirehat padanya, dan siang terang-benderang(supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa mempunyai kurniaan-Nya untuk melimpahkannya kepaada manusia seluruhnya, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (Al-Ghafir 40:61)

Tetapi banyak manusia tidak bersyukur.

Mari kita muhasabah diri kita. Perbaiki diri kita. Bergerak menjadi hamba yang sebenarnya.

Sunday, January 16, 2011

Aku Ingin

Aku ingin menjadi Abu Bakar menjalin agung sebuah persahabatan.
Setia berkorban demi kebenaran.
Seperti Umar, berdiri tatkala tunduknya manusia.
Bersuara tatkala diamnya mereka.
Seteguh Ibnu Zubair, yang setia menahan penahan Hajjaj.
Bersama ibu tua lantas mati dalam dakapan sejarah.
Seteguh pemuda Ghiffani, menetang kezaliman walaupun dikecam.

Aku ingin menyulam keredhaan hati Yusuf yang memaafkan saudaranya.
Walau bertemankan kegelapan perigi tua.
Serta tawakal Ibrahim.
Ketika meninggalkan insan tercinta di bumi tandus tanpa bicara.

Aku ingin semai benih as-Syahid Imam Hassan al-Banna.
Yang merelakan dirinya dimamah peluru.
Serta senyuman al-Qutb.
Ketika berdepan dengan tali gantung.
Lantas terukir haruman di pusara.
Bagai harumnya pusara Ashabul Ukhdud.